Wednesday, January 12, 2011

FELDA rugi..FELCRA bangkrap?


Ekoran gagal membayar ganti rugi RM6,395,834 kepada 38 penduduk Felcra Tebing Tinggi seperti yang diperintah oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 10 Januari lalu, pejabat Felcra Berhad wilayah Johor yang terletak di Bandar Baru Uda, disita.


Notis penyitaan telah diserahkan kepada wakil kakitangan jabatan berkenaan di pejabat Felcra negeri semalam.

Peguam yang mewakili 38 penduduk, K. Sasidran berkata, penyitaan terpaksa dilakukan berikutan kegagalan membayar nilai ganti rugi sehingga sekarang meningkat RM11 juta.

“Mahkamah telah mengarahkan Felcra Berhad membayar ganti rugi sejak bulan Mei lalu, namun pihak Felcra gagal membuat bayaran terhadap 38 penduduk yang terlibat.

“Semua barang di bangunan berkenaan tidak boleh dikeluarkan dan kita juga telah menyediakan dua orang pegawai keselamatan untuk mengawal di sekitar pejabat berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabat Felcra negeri.

Sasindran berkata, pihaknya memberi tempoh selama 14 hari dari tarikh penyitaan untuk Felcra Berhad menjelaskan bayaran ganti rugi berkenaan.

Menurutnya, sekira pihak Felcra Berhad gagal membayar ganti rugi berkenaan tindakan lanjut akan diambil.

“Tindakan lanjut akan diambil ke atas Felcra Berhad sekiranya pihaknya gagal menjelaskan bayaran ganti rugi, termasuklah melelong bangunan dan mengisytiharkan bankrap.

“Kita telah memberi tempoh 48 jam kepada Felcra Berhad untuk memberi penjelasan kepada kami namun gagal.” katanya.

Tambahnya, ketika ingin menyerahkan notis penyitaan, pihaknya turut sukar untuk membuat perundingan berikutan ketiadaan pengarah agensi terbabit.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Felcra Berhad membayar RM6,395,834 kepada 38 penduduk Felcra Tebing Tinggi sebagai ganti rugi bagi pengambilan tanah mereka di Gelang Patah untuk tujuan pembangunan pada tahun 1999.

Sementara itu, wakil penduduk berkenaan, Madon Johan, 55, berkata, tindakan berkenaan terpaksa diambil berikutan kedegilan pihak terbabit membayar ganti rugi berkenaan.

“Penduduk terpaksa menunggu lama dan setelah dibicarakan, kita menang kes ini tetapi pihak berkenaan gagal membayar dalam tempoh yang diberikan maka tindakan telah diambil,” katanya.

Menurutnya lagi, penduduk hanya menunggu keputusan dari peguam sekiranya pihak Felcra gagal membuat bayaran dalam tempoh 14 hari pada tarikh penyitaan bangunan.

Perdana Menteri Najib di dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia menggambarkan bahawa Felcra tidak akan bankrap memandangkan organisasi itu memiliki keuntungan yang konsisten setiap tahun sebanyak RM 1.1 Billion. [Sumber]

Namun laporan oleh akhbar Sinar Harian melaporkan berita yang sebaliknya dan jelas sekali bertentangan dengan jaminan Perdana Menteri Najib yang mengatakan Felcra tidak akan bankrap. [Sumber]

kredit:  Sinar Harian & milosuam.blogspot.com

No comments: