Tuesday, August 17, 2010

Makmum Masbuk dan Makmum Muafik


Malam kelmarin surau tempat aku tarawih sampai lapan rakaat je lepas tu ada tazkirah. Aku?!..hehe..kantoi tak pergi tarawih. Tolong mak buyung yang dah kemas-kemas rumah sebab baru balik dari Air Tawar 5. Ok alasan tidak diterima.

Tengah syok aku bilas kain buruk dengan pengelap kaki kat depan rumah, aku terdengar..ish..bukan perempuan atau pontianak mengilai ok. Bulan ramadhan al-mubarak mana ada setan. Setan bertopengkan manusia ada la. Ok sambung balik. Aku terdengar penceramah ni cerita pasal masbuk. Dari apa yang aku dengar kena ganti rakaat tu kalau kita tidak sempat rukuk bersama imam. Terus aku terdetik nak cerita pasal Masbuk dan Muafik.

Secara ringkas, muafik adalah makmum yang sempat takbiratul ihram dengan imam. Dengan kata lain, orang yang muafik ini datang awal ke masjid dan surau serta sempat membaca fatihah bersama imam.
Makmum yang muafik bermaksud dia sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya, di mana dia sempat berjemaah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia membaca al-fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan di kalangan kebiasaan orang ramai.

Masbuq/masbuk adalah makmum yang tidak sempat berjemaah semasa berdiri imamnya sekadar masa membaca al-fatihah dengan bacaan yang pertengahan. Tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, bahkan mengikut bacaan kebiasaan orang ramai. Makmum yang tidak sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar masa yang membolehkan ia membaca al-fatihah hingga selesai, maka dinamakan orang yang masbuk.
Apabila imam selesai membaca fatihah dan rukuk sebelum makmum yang masbuk sempurna membaca fatihah, maka wajib makmum itu memutuskan atau memberhentikan bacaan fatihahnya dan terus rukuk.
Syarat untuk membolehkan makmum memotong bacaan fatihah dan ditanggung oleh imam adalah jangan membaca yang sunat. Iaitu jangan membaca doa iftitah dan ta'awuz (auuzubillah).

Orang yang masbuk hendaklah terus membaca rukun qauli (bacaan) yang wajib. Bagi al-fatihah yang wajib adalah bermula dengan bismillah.Ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang solat berimam maka bacaan imam itu adalah bacaannya".

Bagi mereka yang masbuk ketika imam sedang rukuk, mereka hendaklah terus rukuk mengikut imam dan tidak perlu lagi membaca fatihah. Makmum itu dikira mendapat satu rakaat jika dia sempat rukuk bersama imam dengan tama'ninah. Bagaimanapun, suka diingatkan supaya jangan sengaja melewat-lewatkan bertakbir. Ini taktik orang yang menyangka mereka untung kerana tidak perlu membaca fatihah. Walhal perbuatan tersebut adalah makruh.

Dalam kitab fikah, makmum boleh takhalluf (ketinggalan atau terkebelakang) daripada imam tidak melebihi tiga rukun fi'li (perbuatan). Jika makmum ada masa yang cukup untuk baca fatihah tetapi dia termasuk dalam golongan yang bacaannya lambat secara semula jadi, maka ada ulama yang mengharuskan orang ini memotong bacaan fatihahnya dan terus rukuk sebagai mana makmum yang masbuk. Dan orang ini tidak dikira sebagai muqassir (cuai).

Namun, mengikut qaul yang asah seperti yang tersebut dalam kitab al-Raudah, makmum itu hendaklah menghabiskan fatihahnya dan takhallufnya itu diberi keuzuran. Bagaimanapun, bacaan al-Quran itu ada tiga wajah iaitu tartil (lambat), tadwir (sederhana) dan hadr (laju). Jadi, kalau pada rakaat pertama kita ketinggalan membaca al-fatihah maka pada rakaat seterusnya hendaklah kita memilih bacaan yang lebih cepat supaya sempat menghabiskan al-fatihah.

No comments: