Galak pengguna beralih pembayaran dalam talian
Kuala Lumpur: Berkuat kuasa 2 Mei ini, yuran bagi urus niaga Sistem GIRO Antara Bank (IBG) yang dibuat secara dalam talian melalui perbankan internet dan perbankan mudah alih akan diturunkan kepada hanya 10 sen daripada RM2. Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata langkah itu bertujuan menggalakkan penggunaan perkhidmatan pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) dalam kalangan pengguna dan peniaga di negara ini. “Yuran IBG yang lebih rendah itu bertujuan memberikan insentif kepada pengguna supaya beralih daripada kaedah pembayaran lebih mahal kepada alternatif yang lebih rendah kosnya,” katanya pada sidang media mengumumkan Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2012 serta Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran Kewangan 2012 di Kuala Lumpur, semalam.
Beri manfaat
Zeti berkata, pembayaran secara dalam talian melalui perbankan internet dan perbankan mudah alih memberi manfaat lebih ketara kepada individu dan peniaga. Jelasnya, setiap individu akan menikmati kemudahan urus niaga pada bila-bila masa dan di mana saja tanpa perlu pergi ke bank manakala peniaga pula boleh mengurangkan kos menjalankan perniagaan dengan cara pengurangan atau penggunaan semula sumber yang sebelumnya digunakan untuk mengendalikan wang tunai dan cek. “Melalui peningkatan pembayaran secara elektronik, kos daripada pemprosesan secara manual, termasuk kos penghantaran melalui pos akan dapat dijimatkan,” katanya. Zeti berkata, sejajar dengan matlamat menggalakkan pengguna dan peniaga menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian yang lebih cekap itu, pembayaran menggunakan cek akan dikenakan caj yang bakal dinaikkan secara beransur bagi mencerminkan kosnya yang lebih tinggi.
Tempoh setahun
Orang ramai bagaimanapun, katanya akan diberi tempoh selama setahun untuk membiasakan diri dan beralih daripada menggunakan kaedah pembayaran cek itu kepada penggunaan IBG bagi urusan pembayaran mereka.
Caj proses cek 50 sen
“Berkuat kuasa 1 April 2014, pihak bank akan mengenakan caj memproses 50 sen bagi setiap cek kepada pengeluar cek. Yuran itu adalah tambahan kepada duti setem sedia ada 15 sen bagi setiap cek,” katanya. Beliau berkata, dalam tempoh setahun ini, Bank Negara akan bekerjasama rapat dengan pihak industri kewangan untuk terus menambah baik infrastruktur pembayaran bagi memastikan perkhidmatan pembayaran dapat diakses secara meluas, selamat dan mudah. Zeti berkata selain cek dan IBG, pelarasan harga terhadap kaedah dan saluran pembayaran lain termasuk mesin juruwang automatik (ATM) akan dilaksanakan secara berperingkat untuk menggalakkan pengguna menggunakan kaedah e-pembayaran yang lebih berkesan dari segi kos. “Menjelang 2020, penentuan harga bagi semua perkhidmatan pembayaran adalah berdasarkan kos menyediakan perkhidmatan terbabit,” katanya.
Sumber
No comments:
Post a Comment