Aku mahu cerita pasal sejarah. Memandang bini aku guru Sejarah berjaya di sekolah beliau sebab PMR tahun lepas peratusan lulus subjek Sejarah meningkat. Percubaan PMR tahun ini subjek Sejarah juga peratus lulus meningkat berbeza dengan subjek lain menurun. Sebab bini aku ajar subjek Sejarah, aku pernah borak 'Sejarah' dengan bini aku. Pasal Parameswara bagi nama Melaka sempena peristiwa anjing buruan beliau ditendang kijang semasa beliau rehat di bawah pokok Melaka. Aku cakap 'Sejarah' Malaysia ni ada bau-bau ikan atau dalam bahasa imperialis nya smell something fishy.
British telah berjaya dihambat keluar dari Tanah Melayu kerana anak
semua bangsa telah bangun mengangkat senjata melawan mereka. Perjuangan
angkat senjata ini adalah fakta sejarah. Fakta yang selama ini telah
cuba ditenggelamkan oleh United Malay National Organisation. Niat busuk
menenggelamkan fakta ini bertujuan untuk menipu orang ramai agar
percaya bahawa gerombolan United Malay National Organisation ini sahaja
yang berhak menjadi 'raja’ memerintah Tanah Melayu/Malaysia sampai
hari kiamat.
Semenjak tahun 1958 United Malay National
Organisation telah ke hulu ke hilir menjajakan ikan busuk – Merdeka
dicapai tanpa tumpah darah. Setiap bulan Ogos United Malay National
Organsation jadi mamai dengan kesah-kesah dongeng tentang bagaimana
mereka menentang gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang dipimpin oleh
Parti Komunis Malaya (PKM). United Malay National Organisation ini agak
bebal kerana kesah kesah dongeng ini membuktikan bahawa mereka -
dalam Bahasa Inggerisnya menjadi British’s running dog atau anjing
suruhan British. Rakyat Tanah Melayu bangun menentang British tetapi
United Malaya National Organisation menentang orang yang menentang
British. Jelas ini perbuatan dan kerja barua British.
Perjuangan
mengangkat senjata melawan Brtish bermula pada 20 Jun 1948. Sebelum
angkat senjata melawan British ini dilancarkan, Parti Komunis Malaya
telah juga melancarkan gerakan gerila bersenjata menentang kuasa
fascist Jepun. Ini adalah jawapan anak semua bangsa terhadap fascist
Jepun yang telah menawan Tanah Melayu pada tahun 1941-1945. Ini fakta
sejarah.
Babak-babak sejarah sejarah gilang gemilang bermandi
darah ini cuba dilupuskan kerana dalam sejarah ini nama United Malay
National Organisation tidak pernah muncul. Bau bau kentut mereka pun
tidak terdengar dalam babak-babak sejarah ini. Gerombolan United Malay
National Organisation tidak pernah wujud dalam perjuangan
anti-imperialis.
Kuasa imperialis Kulit Puteh ( White Colonial
Power) – Portugis, Belanda dan British – datang ke Tanah Melayu ini
kerana mencari harta kekayan. Kuasa imperial ini datang untuk mengambil
hasil bumi – bijeh, emas, getah dan rempah rampai. Buktinya: gerombolan
yang datang awal untuk menjarah harta kekayaan di Kepulauan
Nusantara adalah lanun seperti Raffles dari East India Company.
Semenjak
kuasa imperialis ini - Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun -
menjejakkan kaki ke Tanah Melayu – mereka terus diserang. Nama seperti
Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Jaggut, Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman
Limbong – adalah pemula gerakan anti-imperialis di Tanah Melayu. Ini
fakta yang tidak mungkin luput hingga hari kiamat.
Mari saya
cerahkan para pembaca dengan beberapa fakta-fakta sejarah yang juga
tidak mungkin akan berubah hingga hari kiamat. Para pembaca yang
budiman : Sila buka minda dan pakukan ke dalam otak kita semua bahawa
parti dan pertubuhan politik Melayu yang tertua di Tanah Melayu ialah
Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1938 dibawah
pimpinan Ibrahim Yacoob. Ini diikuti pula dengan Parti Kebangsaan
Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 dengan sayap
mudanya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).
United
Malay National Organisation hanya ditubuhkan pada tahun 1946. Sila
baca betul betul. Buka mata dan buka kepala: KMM 1938, PKMM, API dan
AWAS pada tahun 1945. United Malay National Organisation ditubuh
pada tahun 1946. Baca sekali lagi : sembilan belas empat puluh enam
United Malay National Organisation ditubuhkan dan bukan sembilan belas
tiga puluh lapan. Tarikh 1946 ini pun untuk United Malay National
Organisation telah ditalkinkan. United Malaya National Organisation
yang baru ini ditubuhkan pada tahun 1988. Ini fakta sejarah yang tidak
akan berubah hingga hari kiamat.
Kemudian mari kita lihat
garis-garis perjuangan parti-parti ini. Kesatuan Melayu Muda dan Parti
Kebangsaan Melayu Malaya telah memekikkan slogan – MERDEKA! Laungan ini
telah menghantui kuasa imperial British. Tuntutan kemerdekaan ini telah
mengampoh dan ini menakutkan kuasa kolonial British.
United Malay
National Organisation bukan sahaja TIDAK berani melaungkan – merdeka –
malah gerombolan ini telah mengeluarkan slogan lawak seram yang
berbunyi: Hidup Melayu! Slogan lawak seram ini seolah-olah orang Melayu
'kurang oxygen’. Masih tidak jelas - apakah pada tahun 1946 dahulu
orang Melayu sedang nyawa-nyawa ikan atau kurang oxygen untuk bernafas
sehinggakan perlu dilaungkan ‘hidup Melayu’. Atau kerana hakikatnya
United Malay National Organisation ini satu gerombolan yang bebal dan
tidak dapat memikirkan slogan yang masuk akal.
Lawak seram –
Hidup Melayu – masih ditakbirkan ke hulu ke hilir hingga ke hari ini.
Adalah satu fakta bahawa yang masih lantang melaungkan Hidup Melayu
hari ini adalah kaum Mamak Kimma dan kumpulan Awang Hitam yang semakin
di sangsikan teromba dan salasilah kerurunan mereka. Kenapa Awang
Hitam ini suka melaungkan Hidup Melayu ini memerlukan satu kajian yang
lebih rapi.
Adalah juga fakta sejarah bahawa United Malay National Organisation tidak - diulangi sekali lagi dengan huruf besar – T-I-D-A-K -
berjuang untuk mendapat kemerdekaan. Apabila kuasa imperial British
merasa tekanan senjata dan gerakan massa politik di Tanah Melayu semakin
melonjak dan mengampoh maka kuasa imperial memerlukan budak suruhan
yang setia. Justeru, diwujudkan satu gerombolan yang dipanggil United
Malay National Organisation. Nama Inggeris kumpulaan ini masih dipakai
hingga ke hari ini. Nama Inggeris ini sahaja sudah memadai sebagai
bukti bahawa gerombolan ini ditelor, dieram dan dinetaskan oleh British.
Pada
20 Jun 1948 kuasa kolonial Britsih telah mengistiharkan apa yang
dipanggil ‘darurat’. Perkataan ‘darurat’ ini adalah kelentong besar dari
pihak British. British dengan licik telah menggunakan perkataan
‘darurat’ agar orang Melayu tidak sedar bahawa apa yang sedang berlaku
pada tahun 1948 sebenarnya ialah perjuangan bersenjata untuk menghalau
British. Tidak ada warga Tanah Melayu dalam darurat. Yang darurat
ialah kuasa kolonial dan soldadu British yang telah diserang oleh gerila
Pembebasan Rakyat Malaya.
Apabila darurat diistiharkan – kuasa
kolonial British telah mengharamkan KMM, PKMM, PKM, API, AWAS, Hisbul
Musliman dari bergerak bebas di Tanah Melayu. Ramai pemimpin parti ,
kader politik dan aktivis dalam gerakan nasionalis ini telah di tangkap
oleh soldadu British. Nama-nama
seperti Burhanuddin al- Helmy , Ishak Haji Muhamad, Chen Peng, Rashid
Maidin, Shamsiah Fakeh, S.A. Ganapathy, Ustaz Abu Kabar al- Bakir, Ahmad
Boestaman, Kamaruzaman Teh, Abdullah Sidi adalah nama-nama nasionalis
yang dikhendaki oleh British.
Apabila pemimpin dan kader
dari gerakan nasionalis ini ditangkap, diburu atau dibunuh maka barulah
United Malay National Organisation dapat berkembang. Gerombolan United
Malay National Organisation dapat bernafas dengan slogan Hidup Melayunya
kerana ramai pemimpin-pemimpin rakyat telah memulakan kerja dibawah
tanah atau masuk ke hutan mengangkat senjata untuk menjadi gerila
Pembebasan Rakyat Malaya.
British dengan licik telah lebih awal
merancang satu strateji untuk memastikan United Malaya National
Organisation dapat mara ke hadapan. Strateji ini cukup senang: Dua tahun
sebelum darurat diistiharkan kuasa kolonial British telah menimbulkan
konsep politik yang dinamakan Malayan Union. Ini adalah taktik Britsih
untuk mematahkan gerakan nasionalis Melayu yang anti- British. Dengan
mencadangkan konsep Malayan Union ini British telah memberi nafas kepada
United Malay National Organisation untuk mengumpulkan orang-orang
Melayu.
Justeru apabila darurat diistiharkan dua tahun kemudian -
pada tahun 1948 – pucuk pimpinan nasionalis Melayu dari KMM, PKMM, PKM
telah dipatahkan. Gerakan yang tidak diganggu gugat malah mendapat
sokongan British hanyalah United Malaya National Organisation, Malayan
Indian Congress dan Malayan Chinese Association – semuanya menggunakan
nama Inggeris. Ketika pemimpin gerakan nasionalis dalam penjara atau
kini di hutan bergerila maka ketika inilah United Malay National
Organisation mencelah masuk menawarkan diri untuk menjadi barua British
yang setia. Ini fakta sejarah yang sampai kiamat pun tidak akan berubah.
Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman – dua bengolan ini bukan – B-U-K-A-N
- dieja dengan huruf besar - bukan perjuang menentang Britsih. Mereka
berebut-rebut menawarkan diri untuk menjadi barua Brtisih yang setia.
Pada ketika itu penjajah British memasang dua kuda. Justeru, kuasa
kolonial British memiliki dua pilihan. British akan memilih kuda yang
lebih setia dan yang boleh menipu orang Melayu dengan bijak bistari.
Akhirnya Tunku menjadi kuda pilihan British.
Dengan kemunculan
budaya internet segala pembohongan United Malay National Organisation
telah diketahui umum. Satu demi satu tipu helah dan fakta songsang
tentang perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu telah mula dibongkar.
Anak-anak muda semakin sedar kenapa pada ketika ini United Malay
National Organisation sedang bermati-matian cuba memesongkankan fakta
perjuangan bersenjata melawan British.
Hari ini – pada 5
haribulan September 2011 – United Malay National Organisation sedang
bernafas dalam lumpur untuk mempertahankan babak serangan gerila
Pembebasan Rakyat Malaya keatas Rumah Pasong Bukit Kepong. United Malay
National Organisation melihat serangan ini sebagai detik sejarah
perjuangan mereka.
Serangan gerila ini telah dipimpin oleh Mat
Indra – seorang guru agama, seorang kader dari Parti Komunis Malaya dan
aktivis API. Kemunculan Mat Indera pada tahun 2011 telah meledakkan
mitos bahawa Parti Komunis hanya dianggotai oleh orang China. Roh Mat
Indra juga telah meledakkan mitos bahawa kaum komunis tidak ada agama.
Roh Mat Indra yang muncul tahun ini telah juga mensahehkan bahawa
United Malay National Organistaion adalah barua setia British. Ini
kerana Sarjan Ketua Rumah Pasong Bukit Kepong pada malam serangan itu
ialah Ray Dancey. Sila baca namanya sekali lagi. Namanya bukan Mat Rais
bin Lebai Dasi tetapi Ray Dancey – seorang Mat Salleh yang sebelum
ini kerjanya ialah mengharu birukan rakyat Palestin.
United
Malay National Organsation ini bukan sahaja barua yang setia malah
telah menjadi barua yang amat bebal. Tidakkah mereka sedar bahawa
serangan keatas Rumah Pasong Bukit Kepong ini berlaku pada 23 Februari 1950.
Tahun seribu sembilan ratus lima puluh Tanah Melayu masih dibawah
British. Bendera yang berkibar di rumah pasong Bukit Kepong ialah
bendera Union Jack. Lagu yang dinyanyikan ialah lagu God Save the Quen dan bukan lagu Memula Moon atau Terang Bulan.(TT)
NOTA:
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar SUARA KEADILAN
No comments:
Post a Comment